Wednesday, 1 February 2012

'tentang kamu'

Aku teringat bait-bait kata dalam lagu ' namun ku punya hati'

Senyumku tidak seghairah
Gerak gaya tidak selincah
Mataku tak seayu
kincau burung pun tak semerdu
namunku punya hati
juga gayaku
perasaan..
hidupku yang begini..
kadar waktu diizin Tuhan..
Tidak ku pinta lahir ke dunia
tidak ku duga cacat begini
bukan ku minta kasih dan manja
bukan ku rayu bantu simpati
maafkan wahai teman 
ku menumpang di sudut dunia
mencari ketenangan
sampai masa ku pergi jua...


Tatkala aku melihat teman-teman berjalan beriringan, aku tersenyum sambil perhatikan mereka berjalan  dengan diiringi gelak tawa dan bertepuk tampar, detik hatiku, "pasti banyak cerita yang mereka kongsikan bersama". Aku pandang ke sisi kanan ku, tiada siapa-siapa. Ku toleh pulak ke sisi kiri ku, juga tiada siapa-siapa. Aku dapat rasakan wajah ku seakan panas tiba-tiba  dan raut mukaku mula berubah. Senyuman yang tadi hilang. Aku juga dapat rasakan mataku mula membendung cecair jernih. Mana mungkin ada yang sudi berjalan denganku, nampak kelibat aku sahaja, mereka sudah pun menjauhkan diri inikan pula mahu seiring dan sejalan denganku. Bukan aku tidak cuba untuk mencari kawan tetapi tiada sesiapa pun yang sudi. Aku masih ingat saat pertama kali aku ke sekolah, ku hulurkan salam persahabatan namum cacian yang aku terima. 


Ahh...aku mengeluh lagi. Ku sapu air mataku, lalu ku lajukan pergerakkan kakiku. 
"aku harus cepat ke sekolah".

Di dalam kelas, aku duduk paling belakang. Meja dan kerusiku diasingkan dari rakan seperjuangan yang lain. Aku diberi meja dan kerusi yang sama sepanjang aku bergelar murid di sekolah ini. Tiada sesiapa pun yang berani mengusik meja dan kerusiku. Aku juga perasan, para guru yang mengajarku, kurang memberi tumpuan kepada aku. Buku sekolahku jarang sekali disemak malah mereka tidak langsung mengendahkannya. Aku cukup tahu  bahawa cikgu-cikgu gerun dengan aku. Mungkin juga turut jijik melihat aku.

Aku sekarang di darjah tiga. Bermakna sudah tiga tahun aku belajar di sekolah ini. Aku sudah masak dengan ragam warga sekolah ini. Hati aku hanya Allah yang tahu. Walaupun air mata aku kadang-kadang tidak gugur, tapi aku menangis dalam hati. Hati aku tidak kebal menerima semua ini. Hati ini sudah berdarah! Seakan air mataku sudah kering untuk aku tumpahkan lagi.

Hari-hari yang aku lalui adalah sama sahaja. Terasing dan diasingkan. Kadang-kadang rasa sukar nak teruskan hidup. Saat mata sudah terjaga dari lena aku masih lagi di dalam ‘kegelapan’. Aku tidak mampu untuk bermimpi. Aku mencari bahagia di sudut dunia namun derita yang memenuhi. Seribu pertanyaan dalam diri yang aku sendiri tidak dapat mencari jawapan. Namun antara persoalan yang beribu, satu soalan ini amat menghancurkan hati. "Mengapa aku?"

Bunyi loceng menandakan waktu rehat.
mak cik saya nak nasik lauk daging masak kicap 1" pintaku.
 " em, mana bekas ko, Amir?" tanya mak cik Limah, penjual kantin.
 "saya tertinggallah mak cik tapi saya lapar, saya nak beli nasi". Jawabku sedikit merayu.
" tu masalah kamu, kamu yang tak bawak bekas sape suruh? kamu tanggung la sendiri!" jerkah mak cik Limah. Murid-murid yang berada di situ memandang aku dengan senyuman yang sinis. Ada yang turut menjuih bibir kea rah aku. Aku tahu itu. Tiadakah sekelumit perasaan simpati mereka kepada aku? Di marahi di hadapan murid yang ramai yang berada di kantin ini membuatkan aku terdiam dan malu. Lalu aku dengan perlahan bergerak meninggalkan kantin lalu menuju ke belakang bangunan sekolah. Aku melihat padang sekolah yang terbentang luas dengan kehijauan warna rumput yang baru dipotong. Kemudian, aku mendongak ke langit biru dan aku dapat lihat awan putih seakan-akan bergerak. Ada sedikit ketenangan di situ.

Bekas? hari ini bukan sengaja aku tidak membawa bekas 'peribadi' ku. Tapi kerana terlalu sejuk pagi tadi, aku termenung lama sebelum mandi dan akhirnya menyebabkan aku terlewat untuk ke sekolah pagi tadi sehinggakan terlupa untuk membawa bekas tersebut. Bekas yang digunakan untuk aku makan di kantin sekolah. Ini adalah syarat yang dikenakan untuk aku bagi membeli makanan di sekolah. Mengapa tidak sahaja menggunakan kertas bungkusan? Alasannya menambahkan sampah di sekolah memandangkan semua pelajar lain menggunakan pinggan yang disediakan oleh pihak kantin dan aku tidak dibenarkan menggunakan pinggan kantin. Hanya aku seorang sahaja yang perlu membawa bekas dan cawan sendiri untuk makan di kantin. Aku bebas tapi aku di‘kuarantin’kan oleh dunia!


Hendak membawa bekalan dari rumah, nenek tidak berkesempatan. Tambahan pula nenek terlalu tua untuk dibebani dia. Cukuplah dia penat. Pagi-pagi telah keluar untuk menjadi kuli orang bagi mendapatkan sesuap nasi bagi membesarkan aku. 

Hari ini terpaksalah aku bertahan lapar. 

Jam dinding menunjukkan 12.40 ini bererti lagi lima minit loceng tamat kelas akan berbunyi.

Kreng….krenggggggggggg!!!.

Abu, Khaisyam, Mat dan kawan-kawan yang lain bersorak kegembiraan. Pasti mereka gembira kerana mereka dapat bermain selepas pulang sekolah. Zaman kanak-kanak adalah yang paling best. Sehinggakan yang dewasa ada mengatakan jika diberi pilihan mereka ingin kembali sekali lagi ke zaman kanak-kanak mereka semula. Zaman kanak-kanak adalah zaman yang bebas dengan masalah. Zaman ini adalah zaman 'keriangan' bagi semua kanak-kanak kecuali aku. Aku kanak-kanak yang hilang semua itu.

Aku mengemas buku dan memasukkan ke dalam beg sekolah. Kemudian aku mengangkat kerusi di atas meja dan mula beratur di luar kelas untuk mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh pengawas. Aku beratur di sebelah kanan sendirian manakala yang lain beratur di sebelah kiri.

Aku berjalan pulang ke rumah. Matahari begitu terik sekali. Cahaya yang dipancarkan oleh sang Matahari ini begitu bahang terasa panasnya. Aku kepenatan. Langkah ku mula perlahan. Entah mengapa kaki ku terasa amat berat sekali untuk diangkat. Kepala aku seperti berpusing dan mataku berpinar-pinar. Aku tidak dapat mengimbangi badanku dan sedikit demi sedikit kegelapan yang aku lihat lalu hilang cahaya sang Matahari yang menyilau.

Amir.. amir.. amir… Nenek tua memanggil sambil diiringi tangisan yang teresak-esak. Aku dapat mendengar suara yang mendayu-dayu itu. Kepalaku diusap lembut. Aku cuba untuk membuka mata yang terasa amat berat untuk dibuka namun ku gagahkan juga kelopak mata ini.

Nenek… perlahan suara aku memanggil nenek tua itu.

Rupa-rupanya sudah dua jam aku tidak sedarkan diri. Kini aku dirawat di hospital. Di sebalik pintu wad, telingaku dapat menangkap satu cerita yang meruntun jiwa. Cerita itu begitu jelas kedengaran walaupun nada suara nenek begitu perlahan ketika menceritakan kepada ibu saudaraku. Semasa aku pengsan, tiada sesiapa yang sudi menghampiri ku. Aku dibiarkan ‘tidur’ di tepi jalan begitu sahaja. Bukan tiada orang yang melihat aku terbaring di situ tetapi mereka tidak berani untuk menghampiriku. Sehinggalah ada yang mengkhabarkan kepada nenek dan nenek sendiri yang memangku aku dan membawa ke hospital. 


Sehingga begitu sekali aku dibiarkan terbaring? Hina sangatkah aku?

 Apa salah ku? Aku cuma kanak-kanak yang berumur 9 tahun. Hanya kerana darahku dikotori human immunodeficiency virus (HIV) mereka melayan aku sebegini rupa. Penyakit ini bukan aku yang cari. Aku tidak minta untuk dilahirkan ‘kotor’ begini. Aku sendiri tidak faham dengan jelas tentang HIV ini. ‘Mereka’ begitu jijik dengan aku kerana bagi mereka penyakit ini boleh berjangkit dengan mereka. Tambahan pula, penyakit ini tiada ubat. Sekali kena, selama-lamanya menderita. Menderita zahir dan batin tidak kira secara halus dan kasar. Penyakit yang aku ‘warisi’ dari mama ini benar-benar membuatkan aku terseksa. Tahukah mereka bukan aku yang pinta dilahirkan sebegini? Sedarkah mereka takdir ini bukan pilihan manusia. Allah Yang Maha Esa yang tentukan.

Aku juga manusia. Walaupun berpenyakit aku juga ada hati dan perasaan. Mengapa disiksa perasaan dan hati ini? Aku sudah cukup menderita dengan menanggung penyakit ini tetapi mengapa kalian menambahkan lagi luka?

Tanpa aku sedari air mataku menitis. Nenek datang mengusap kepala ku.

“ sabarlah sayang…” bicara lembut seorang nenek.
“ mengapa Amir yang kena lalui nek.. mengapa mama lahirkan Amir..” kataku sambil tersekat-sekat dan tersedu-sedu kerana menangis.
“ sayang.. kamu insan istimewa. Kamu insan yang pilihan Allah untuk lalui semua ini. Allah tahu kamu kuat, sebab itu dia pilih kamu” nasihat nenek. Aku lihat nenek pun turut menitis air mata.
“Amir dah penat nek.. Amir rasa nak pergi jauh-jauh..”
“ Cu..jangan putus asa. Kat dunia ni mungkin kamu tersiksa. Tapi mungkin kamu akan bahagia di sana kelak. Biar siksa di dunia jangan merana di akhirat. Kita hidup di dunia hanya sementara. Kat sana lebih kekal. Pedulikan orang lain. Teruskan hidup kamu.. Kamu sangat istimewa cu.. ”
"Dunia tak perlu kan Amir nek..mereka benci Amir" 
"ishh... Amir, jangan cakap macam tu. Mereka mungkin menilai kamu dari penyakit kamu. Tetapi semua itu tidak berguna. Penilaian Allah yang menentukan segala-galanya dan Allah menilai dari hati cu.. bukan dari penyakit atau fizikal. Kamu perlu menjaga hati. Kamu ingin ke syurga kan?" 

Aku mengangguk perlahan. Sungguh menusuk kalbu. Kata-kata nenek seperti dari hati dan terus ke hatiku. Satu ayat yang menaikkan semangat aku “ biar tersiksa di dunia jangan merana di akhirat”. Esok adalah hari baru buatku.

Tiga hari aku dihospital. Aku kembali kesekolah. Hari ini cikgu meminta kami membuat satu karangan yang bertajuk ‘tentang kamu’. Pelik dengan kehendak cikgu baru ini. Tapi dia suka tersenyum. Dia selalu menghampiri aku. 

“ cikgu jangan dekat dengan dia! Dia ada aids. Nanti kena dekat cikgu” Abu tiba-tiba bersuara.
Aku tunduk kepala. Malu.
“ ish… Abu tak baik cakap kawan kamu macam tu..”
“ betul cikgu.. dia ada aids. Semua orang dah tahu. Bahaya cikgu, mak kita kata penyakit ni berjangkit dan tak de ubat”
“ tapi kamu tetap x boleh cakap macam tu. Tak elok, nanti Tuhan marah. Ok semua buat tugasan kamu tu ye.. emm.. amir pun buat ye. Cikgu nak tengok”

Pertama kali aku dipertahankan. Gembira sangat.

****************************************************************************

Saya diberi nama Amir bin Ahmad. Nenek yang berikan nama itu untuk saya. Saya adalah anak yatim piatu. Sejak dilahirkan lagi saya tidak kenal siapa mama dan papa saya. Mereka sudah tidak ada di dunia ini lagi.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mama saya kerana lahirkan saya dengan penyakit ini. Pada mulanya saya sedih sangat kerana penyakit ini, saya dipulaukan oleh orang ramai. Dihina dan dikeji dari kata-kata mahupun pandangan mata. Tapi saya bersyukur kerana ada nenek. Nenek kata, penyakit ini anugerah buat saya. Allah pilih saya sebab Allah tahu saya kuat dan boleh hadapinya. Nenek kata, kalau Abu yang kena penyakit ni mesti dia dah jadi kurus tak macam sekarang. Mesti dia menangis je selalu. Saya kuat jadi saya tak nangis walaupun kadang-kadang saya sedih sangat. Tapi nenek cakap saya mesti kuat sebab nak masuk syurga.

Ini adalah cerita tentang saya. Saya buat karangan ni kerana cikgu Maiza yang bagi. Saya pun tulis lah tentang saya. Menurut nenek, saya dapat penyakit ini dari mama ketika mama mengandungkan saya. Papa dengan mama adalah penagih dadah. Siapa akan bangga ada ibu bapa macam ni kan? Nenek cakap mereka tersilap langkah. Papa meninggal ketika saya tiga bulan dalam kandungan. Mama pula meninggal selepas melahirkan saya. Saya masih beruntung kerana saya tidak dibuang di dalam tong sampah seperti bayi-bayi yang bernasih malang. Saya masih ada nenek.

Bukan saya yang memilih siapa akan jadi ibubapa saya. Kalau saya diberi pilihan saya akan pilih untuk menjadi anak kepada orang kaya dan baik. Tapi siapa saya? saya hanya manusia biasa. Kenapalah orang kat luar pandang hina kepada saya? tahukah mereka saya sendiri pun kadang-kadang jijik dengan diri saya? salah sayakah dilahirkan dalam keadaan begini? Salah sayakah ibu bapa saya menghisap dadah? Mereka dah lama meninggal. Saya adalah pewaris ‘aids’ mereka. Saya yang kena tanggung semua ini. Adilkah mereka melayan saya begini? Mereka tak tahu ke, kalau saya dapat pilih, saya tak nak penyakit ini. Mereka tak tahu yang saya hari-hari merana. Mereka tak tahu air mata saya dah kering untuk menangis. Tapi nenek cakap, takpe sebab Allah nilai seseorang bukan dari penyakit. Nenek cakap Allah nilai seseorang hambanya dengan hati. Nenek pesan dekat saya, biar hati bersih je selalu. Salah satu caranya, nenek ajar supaya maafkan orang nanti hati jadi bersih dan tidak hitam macam arang.

Saya pernah dipanggil aids padahal nama saya Amir. Meraka saja je panggil saya Aids. Kalau lah mereka tahu saya malu mesti mereka tak panggil saya dengan nama macam tu. Mereka juga pernah kata saya ni pembawa malang. Kalau lah mereka tahu bertapa saya taknak jadi malang mesti mereka dah tak kata macam tu kat saya. Haritu pernah kawan-kawan gelakkan saya, sebabnya saya ajak mereka main lompat-lompat. Mereka cakap zaman sekarang orang tak main dah lompat-lompat tali orang main angry bird. Mereka cakap mereka tak nak kawan dengan saya sebab saya berkudis dan berpenyakit. Mereka cakap saya ni kotor. Kalau lah mereka tahu saya cuma nak berkawan dengan mereka sahaja bukan nak agihkan penyakit mesti mereka sudi kawan dengan saya. Saya pernah hantar kerja rumah kat cikgu. Tapi cikgu taknak semak. Saya Tanya kenapa cikgu diam je. Saya tahu cikgu takut virus saya naik atas kulit cikgu. Kalaulah cikgu tahu saya nak jadi pelajar yang pintar mesti cikgu dah bantu saya setiap masa. Saya terima je bila saya guna kerusi dan meja yang sama selama tiga tahun. Kerusi dan meja saya dah diasingkan awal-awal. Kalaulah mereka tahu saya nak duduk depan-depan dalam kelas, mesti mereka izinkan. Mereka banyak tak tahu dari tahu. Mereka tak tahu saya rasa sukar. Mereka tahu menghina saya. Mereka tak tahu walaupun ada virus saya masih saya ada perasaan sebab tu mereka layan saya macam khinzir. Mungkin khinzir pun lagi berharga dari saya. Mereka tak tahu kadang-kadang saya rasa sukar nak hadapi hidup sebab tu mereka menghukum saya. Mereka asingkan saya dalam dunia ni. Mereka banyak tak tahu. Mungkin esok pun belum tentu ada untuk saya.

Saya masih ingat ketika saya mula-mula masuk sekolah. Ada ibubapa kawan-kawan saya yang datang kerumah untuk meminta nenek memberhentikan saya bersekolah. Mereka takut anak mereka berjangkit dengan penyakit saya. Mereka taktahu saya pun ada cita-cita. Cita-cita saya nak jadi doktor. Nanti boleh rawat orang sakit macam saya. Bila saya dah masuk darjah tiga, sedikit demi sedikit saya mula faham. Mustahil untuk saya jadi doktor. Saya mampu jadi pesakit. Saya selalu ulang alik ke hospital. Antibodi saya lemah. Kadang-kadang saya rasa tak larat sangat nak buat apa-apa. Rasa macam lemah sangat. Bila saya di dalam wad, saya tahu nenek saya sedih tengok keadaan saya. badan saya tak mampu nak lawan penyakit walaupun hanya demam biasa saja. Kadang-kadang bila saya tengah sakit, saya berdoa agar cepat pergi. Nenek selalu marah bila saya bagitahu dia saya buat macam tu. Nenek cakap, berdosa bila minta pendek umur. Tapi saya buat camtu sebab tak sanggup tengok nenek yang susah-susah menjaga saya. Saya tahu nenek tak sampai hati tengok keadaan saya.Saya pernah lihat dia menangis.

Saya dah tahu yang penyakit saya tiada ubat. Pergi hospital pun tiada ubat untuk sembuh. Tapi nenek cakap ini sebab Allah sayangkan saya. Nenek cakap, kalau saya tak diberi penyakit mungkin saya dah jadi macam budak-budak nakal yang lain. Kata nenek lagi, saya mesti kuat terima dugaan ini macam sekuat tiger. Saya suka makan biskut tiger sebab nak kuat. Tapi saya juga tahu sekuat mana pun saya tetap akan pergi jua.

Saya pernah berharap dapat ada kawan. Saya nak main lompat-lompat. Nak bercerita dengan kawan. Saya cuma ada nenek tapi saya sayang nenek saya sangat-sangat walaupun dia tak pandai nak main lompat-lompat. Saya nak ucap terima kasih kat cikgu sebab baik. Saya tak pernah buat karangan. Ini pertama kali saya buat. Ini lah karangan saya cikgu.



Menitis air mata cikgu Maiza membaca karangan dari murid yang baru dikenalinya itu. Pagi tadi dia terkejut melihat buku log di atas mejanya. Dia tidak menyangka buku log itu mengandungi karangan yang begitu menyayat hatinya. Dia tidak perasan timbunan buku di atas mejanya terselit buku Amir. Mungkin sudah beberapa hari buku itu berada di situ. Seingatnya, dia meminta murid-murid 3 Cemerlang menghantar kerja sekolah pada minggu hadapan.

Dia tidak sabar untuk bertemu dengan Amir. Dia terus ke kelas Amir, namun harapanya sedikit hancur apabila mendapati meja Amir kosong. Menurut Abu jiran yang paling dekat dengan rumah Amir, Amir telah di masukkan ke hospital kerana sukar untuk bernafas. Badanya lemah.

Apabila habis je waktu persekolahan, Cikgu Maiza terus ke hospital. Dia melihat Amir terlalu lemah. Nenek Amir yang setia menjaganya membaca surah Yassin. Dia lihat mata Amir tertutup. Bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Cik ni sape?” tegur nenek Amir setelah menghabiskan ayat yang terakhir dari surah Yassin.
“ Mak cik, saya ni cikgu Amir. Baru berpindah ke sini. Bila Amir masuh hospital?”
“ Semalam cikgu. Dia demam panas. Badan dia lemah sangat. Sel darahnya banyak yang rosak. Dah takde harapan. Doktor kata mungkin dah tak lama.. ” Sambil menangis nenek Amir memberitahu cikgu Maiza.

Terdiam cikgu Maiza. Menitis air matanya.

“permudahkanlah urusannya Ya Allah…” Doanya dalam hati.





No comments:

Post a Comment

budak2 baik komen :