Saturday, 22 September 2012

kita pasti berjodoh

Satu lagi hari bakal melabuhkan tirai. Sungguh cepat masa berlalu. Bagaikan semalam semuanya terjadi. Seperti baru sahaja semalam aku bermain tali getah bersama kawan-kawan di kampung. Ahh... rupanya kini aku sudah menjangkau ke alam dewasa. Fasa perubahan terus berlaku. Sedar atau tidak, makin hari makin dekat kita dengan jodoh yang bernama AJAL. Hakikatnya, manusia kini lebih gusar untuk memikirkan jodoh yang belum pasti berbanding dengan 'jodoh' yang benar-benar pasti akan terjadi kepada setiap penghuni bumi. 

AJAL atau lebih 'famous' dengan KEMATIAN paling digeruni dan ditakuti oleh makhluk Allah yang bergelar manusia. Tapi malangnya walaupun paling ditakuti, ianya juga paling kerap dilupakan oleh manusia. Seperti juga aku. Aku sering merancang tentang hari esok tanpa memikir adakah esok milik aku lagi? Bertapa diri ini jahil. Hinanya aku.

Bagaimana malang itu tidak berbau, mati juga tidak berbau. Tarikh kematian adalah rahsia Allah. Tempat dan bagaimana juga kita tidak tahu. Hari ini kita sedang leka dengan segala jenis hiburan yang diciptakan oleh kita sendiri, esok mungkin kita dijemput ajal. Siapa tahu? Yang sakit itu belum tentu akan pergi dulu sebelum kita. Lihat sahaja di sekeliling kita, yang sihat-sihat tiba-tiba sahaja dijemput Illahi.  Bagaimana kita dengan penuh gah dan yakin bahawa kita bisa lagi bernafas untuk esok hari? Yang muda-muda jangan pernah fikir, kita masih muda maka kita masih lambat dengan kematian. Jangan sekali-kali berasa begitu. Tengok sahaja kawan-kawan kita yang muda-muda. Ada yang telah pergi meninggalkan kita.  Esok mungkin ada tetapi belum tentu untuk kita. Selepas tercabutnya nyawa dari jasad maka terputuslah segala amalan anak Adam melainkan 3 perkara iaitu doa anak-anak yang soleh, ilmu yang bermanafaat dan sedekah jariah. Sudah cukupkan bekalan kita? Yakin kah kita mampu tersenyum apabila bertemu dengan Izrail, Pecabut Nyawa? Dan tahukah kita Izrail selalu melawat kita 70 kali sehari? Kita terlalu asyik dengan dunia semata. Padahal di dunia adalah hanyalah tempat persinggahan sahaja. Hanya singgah! perkataan singgah cukup untuk menggambarkan bahawa 'sekejap sahaja'. Ya, hidup kita di dunia hanya sementara. 

Berbicara tentang mati aku jadi takut. Takut sangat. Ada debaran dalam dada. Bagaimana kehidupan kita setelah kematian? Berbahagiakah kita di alam kubur? Bagaimana pula pada hari dimana segala amalan ditimbang? Bagaimana kesudahan perjalanan hidup kita? Sedangkan hidup kita di dunia hanyalah semata untuk dunia. Bekalan kita untuk di sana tiada! 

Terkena percikan minyak panas, kita sudah sakit. Itu baru percikan minyak panas yang kecil dan belum lagi api. Dan itu masih lagi belum api Neraka yang berganda-ganda lagi panas daripada api kat dunia ini. Nauzibillah min zalik. Mintak-mintak kita bukan antara yang meramaikan ahli neraka.

Sebagaimana aku tidak ingin, aku percaya ramai lagi kat luar sana yang sama dengan aku  yang mana tidak ingin menjadi ahli neraka. Berasa 'tidak ingin' sahaja belum cukup untuk selamatkan diri kita daripada api neraka. Maka, aku seru, bermula hari ini marilah kita sama-sama memperbaiki diri kearah kebaikan dan persiapkan diri untuk menghadapi kematian. Jangan pernah rasa cukup dengan amalan kita yang sebelum ini. Perbanyakkan taubat dan doa. Biar lah akhir kata kita dengan kalimah suci "la ila hailla Allah Muhammad Rasullullah". Akhir hidup kita husnul khotimah. Marilah kita sama-sama mengumpul bekalan untuk kehidupan disana. Yang pasti, di sana adalah kehidupan yang kekal abadi. Rebutlah untuk mengejar cinta Allah Yang Hakiki. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam berkat dan redhaNya serta dalam lindungan di bawah naunganNya. Moga kita bisa bertemu di Syurga duhai teman-teman. Wallahualam.


sumber : google


"Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami,
guru-guru kami,  serta kaum muslimin dan muslimat.
Ya Allah, jangan pesongkan hati kami,
tetapkan hati kami pada jalanMu
Sungguh, kami sesat tanpaMu, 
terimalah amalan kami,
bawalah kami ke JannahMu Ya Allah Ya Tuhan kami"

No comments:

Post a Comment

budak2 baik komen :