Monday 26 March 2012

Sayang ada, bahagia tiada

Heboh dua tiga kampung tentang hebatnya cinta mereka. Ibaratkan lautan berapi sanggup di rentas, gunung yang tinggi sanggup di daki malah di dasar lautan juga mahu sahaja diselami. Indah percintaan mereka. Ramai yang mengkagumi cinta mereka. Kekuatan cinta mereka dipuji. 


Hari-hari mereka rindu. Cinta mereka sentiasa mekar mewangi. Mereka sedang mabuk. Mabuk cinta! Angau! Gila bayang! Boleh dikatakan, makan tak kenyang, tidur tak lena dan mandi juga tak basah. Agaknya beginilah keadaan orang-orang yang tengah hangat bercinta. Kalau tidak berjumpa satu hari, memang tidak sah padahal bergayut tiap-tiap malam sehinggakan berjam-jam. Mesej? Ahh tak usah kata, tiap-tiap saat ada sahaja mesej. Yang hairannya, modal perbualan orang bercinta ini memang tidak habis kah? 


Kalau berjumpa, memboceng motor bersama-sama. Berpegangan tangan tanpa rasa berdosa. Rela sama rela dalam kemaksiatan demi cinta yang utuh.


Pada suatu hari, mereka bergaduh kerana sedikit perasaan cemburu. Si hero sanggup terjun bangunan bagi menghalang Si heroin memutuskan percintaan mereka. 

"Sakit!!!! Ahhh... Ibu.. tolong.. tolong.. tolong" Raung si hero dengan darah yang penuh. 

Umur masih panjang, si hero di tempatkan diwad selama beberapa minggu. Kakinya patah, dan badanya tercedera. Ibunya yang berulang-alik menjaganya. Bagi mengelak dari bertemu dengan keluarga si hero, Si heroin datang secara curi-curi untuk melawat si hero kekasih hati. Si hero tersenyum bila melihat si heroin. Selera yang tiada menjadi ada. Si heroin menyuapkan makanan kepada si hero. Menunjukkan sikap yang ambil berat dan romantik.


Umur baru setahun jagung. Ibubapa mana yang sanggup menerima semua ini? Nasihat disampaikan, namun amarah yang dibalas. Bagi si anak, cinta mereka suci, tiada apa yang boleh memisahkan mereka. Keadaan si heroin yang tiada ciri-ciri menantu yang solehah menyebabkan rasa kurang berkenan di hati keluarga si hero. 


Baru beberapa minggu keluar dari hospital, si hero memohon untuk berkahwin. Dengan kerja yang tidak tetap. Kemampuannya dipersoalkan oleh keluarga. Namun dengan kekuatan cinta, si hero memberanikan diri dengan menjawab YA! kami mampu dan sudah bersedia! 


Hilang kata-kata ibu dan bapa. Sudah nasihat namun gagal. Nak atau tak nak, pernikahan dijalankan bagi mengelakkan zina yang teruk mungkin terjadi. Redha dalam pasrah dengan ketentuan jodoh anak mereka. Menerima dalam keterpaksaan. Anak yang dibela, tegar memilih si dia yang baru dikenali. Di mana silapnya? 


"Ya Allah, bukakan pintu anakku. Berikan taufik dan hidayah kepada mereka. Aku redha Ya Allah dengan ujian ini" doa ibu dalam hati.


Maka, bersatulah satu hubungan yang halal antara si hero dan heroin. Akhirnya, percintaan mereka membawa ke alam pernikahan. Awal perkahwinan, mereka seperti pasangan yang paling romantik. Tinggal berdua di rumah sewa tanpa gangguan. Mereka bahagia kerana mendapat kemenangan cinta mereka. Terbukti cinta mereka kuat.


Panas yang diharap sampai ke petang, namun hujan di tengah hari. Manis yang diharap, rupanya ada pahitnya. Hidup berumahtangga banyak dugaannya. Jiwa muda yang mudah memberontak menyebabkan jika ada silap sedikit pasti membawa kepada pergaduhan. Pantang ada salah yang kecil diperbesarkan. Barang-barang menjadi mangsa. Pintu di tendang, dinding ditumbuk. Sekali sekala ada juga yang terluka diantara mereka.
Bila sejuk, mereka berbaik seperti biasa. Si heroin merajuk, si hero memujuk. Kata orang "sweet" bila dipujuk. Namun bila sudah selalu adegan yang sama, naik jemu juga.


Bila bergaduh, sumpah seranah dilontar. Tidak kira si hero atau si heroin. Sikap sabar tiada dalam diri mereka. Mana perginyanya cintanya yang dulu? Kesabaran yang dulu semasa bercinta? Kalau dulu semasa hangatnya cinta, sama-sama berjanji mencari bahagia bersama. Ingin bersama-sama dalam susah dan senang.
Benarlah, percintaan mereka berakhir dengan perkahwinan! Semuanya telah berubah, sikap manja-manja semasa bercinta telah hilang.


Bila si ibu bertanya, masih ada sayang?. Mereka mejawab ada. Namun tidak tahan dengan hidup begini, mereka tidak bahagia. Selalu sahaja bergaduh dan bergaduh. Sehingga suatu hari pergaduhan besar terjadi dan talak terlafaz. Perkahwinan mereka tidak mampu bertahan. Akhirnya memilih dengan haluan masing-masing. Mereka menangis meratapi perpisahan namun bila sudah terTALAK ianya sudah terlambat.


p/s : Kekuatan cinta yang ada tidak akan sama dengan keberkatan. Bila tiada berkat dari Allah, kebahagian sukar dikecapi. Sanggup sisihkan cinta Allah demi cinta makhluknya. Wajarkah? Dan sanggup mengetepikan nasihat ibubapa juga menyebabkan hidup tidak berkat. 

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (QS. Al Baqarah :216)

Perkahwinan adalah permulaan cinta bukannya perakhiran sesuatu cinta. Jika kita bernikah kerana Allah, pasti kita akan menerimanya walau apa yang terjadi. Kesabaran dalam sesuatu hubungan adalah penting. Berbekalkan cinta sahaja belum cukup untuk membahagiakan. Seeloknya bercintalah selepas nikah. Nantikah jodoh dari Allah iaitu jodoh yang kita tidak tahu siapa pun. Lalu kita istikharah memohon petunjuk dari Allah lalu, Allah kurniakan petunjuk maka kita pun meminang. Dan yang dipinang juga memohon petunjuk dari Allah dengan istikharah selepas dipinang, maka jika mendapat petunjuk positif dengan yakin terima pinangan tersebut. Dan langsung bernikah. Bermulalah percintaan yang halal. InyaAllah. Sweet dan halal~ 

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

# jom jadi baik agar dapat yang baik2 #
# kuatkan iman agar mampu hadapi hari2 mendatang #
# berdoalah kepada Allah #
# Lebihkan cinta kepad Pecipta Yang Esa dr yang dicipta #

" Ya Allah, berikan kami seseorang yang menyerahkan cintanya kepada Mu. Yang mecintai kami keranaMu dan yang boleh membawa kami mencintaiMu jua serta kurniakan kami anak-anak yang soleh dan solehah"














No comments:

Post a Comment

budak2 baik komen :