Thursday, 12 July 2012

Ujian Penguat Jiwa!

Assalamualaikum w.b.t

Dalam perjalanan sebuah kehidupan sebagai manusia adalah agak mustahil jika dia hanya melalui kisah 'bahagia' atau 'suka' sahaja. Sudah namanya pun kehidupan, jadi macam-macam kisah kita sudah dan akan lalui dalam seharian di atas dunia yang fana ini. Dan kadang-kadang kita akan pernah rasa 'eh, macam pernah jadi je macam ni kat aku'. Dan kadang-kadang juga kita akan rasa seperti sukar nak lalui liku-liku kehidupan ini terutamanya ketika saat-saat yang amat pahit!  

Umpama berjalan di jalan yang penuh dengan onak duri. Jika terus berjalan, kesakitan akan dirasai namun bahagia di hadapan, dan jika berundur bererti tewas serta bakal menangis penyesalan untuk selamanya!  

Hidup ini kadang-kadang tidak seperti yang kita rancang kerana Allah sudah rancangkan untuk kita. Dan yakinlah perancangan dan ketentuan Allah itu adalah terbaik untuk kita. Allah Maha Mengetahui.

Semua ini adalah ujian untuk kita. Allah akan hadiahkan syurga buat kita jika kita mampu lalui ujian ini. Inilah 'happy ending' hidup kita yang kita mahu. Saya percaya dan amat yakin sekali semua orang ingin ke syurga. Untuk itu, haruslah kita bersabar dalam menempuh hidup ini walau sesukar mana jalan yang kita akan tempuh. Walau sepahit mana pengalaman yang kita akan lalui. Walaupun berapa kali kita jatuh, kita harus bangun untuk bangkit! untuk mencapai kemenangan. Dan kita amat bertuah, di setiap langkah kita, Allah sentiasa ada dengan kita walaupun kita sering tiada untukNya.

Kita adalah hero/heroin dalam perjalanan hidup kita sendiri. Maka, kitalah yang harus menjadikan 'happy ending' kisah hidup kita. Walau kisah hidup kita tidak seindah cerita novel atau drama, itu semua adalah tidak penting kerana 'ending' adalah lebih penting. Kerana itu destinasi terakhir yang ingin kita tuju. InyaAllah syurga. Maksudnya disini, kita harus berusaha untuk menuju syurga. Moga kita bertemu disana. InyaAllah.

Kita seharusnya ingat, ujian itu penguat jiwa bukan penekan jiwa. Ya, kadang-kadang kita rasa seperti tidak mampu, tapi jika yakin dengan Allah, semuanya akan jadi senang. Letakkan keyakinan kita pada Allah dan hadapi dengan senyuman! Allah tidak akan menganiayai hamba-hambaNya. Jangan ingat ujian yang kita hadapi ini adalah yang paling berat. Jika kita ini rendah, ada lagi yang paling rendah dari kita, jika kita ini tinggi, ada lagi yang lebih tinggi dari kita. 



Buat teman-teman yang sedang diuji, ku hadiahkan lagu ini buat kamu. Be strong!




"Ya Allah Ya Tuhan kami, 
Jika ini ujian yang kau berikan untuk kami,
maka kuatkan lah hati kami untuk menerimanya,
redhakan kami agar kami ikhlas menghadapinya,
Dan teguhkan iman kami agar hati kami tidak berpaling  dari Mu,
Ampunkan dosa-dosa kami"

Friday, 29 June 2012

Seringgit dua, Sesuap nasi

Aku pulang dari kerja, melalui jalan-jalan kota yang dipenuhi dengan kenderaan si penghuni bumi. Waktu-waktu begini jalan agak sibuk kerana penduduk-penduduk bumi baru keluar dari tempat kerja masing-masing dan ingin pulang ke rumah. Seperti hari-hari yang biasa aku dengan hanya bermotosikal melalui di bahagian tepi jalan untuk tidak menghalang laluan kenderaan besar. 

Dalam perjalanan pulang ke rumah, hari ini mata ku menjadi saksi terhadap satu kisah yang memilukan. Hatiku begitu tersentuh sehinggakan menusuk di kalbu. Maka benarlah pepatah yang mengatakan bahawa "dari mata turun ke hati". Ini kerana dari mataku yang menyaksikan lalu turun ke hati yang menciptakan satu perasaan yang sayu. Sungguh sayu! 

Kisahnya bermula begini, disebabkan lampu bertukar merah di trafic light, aku memberhentikan motor ku bagi menunggu lampu bertukar hijau semula. Di hadapan ku begitu banyak kenderaan. Aku memerhatikan sahaja keadaan di sekeliling aku sehinggalah mata ku jatuh kepada motorsikal beroda tiga yang ditunggang oleh seseorang lelaki yang telah berusia. Atau dengan erti kata lain warga emas. Aku begitu tertarik melihat hamba Allah itu. Di dalam ruangan muatan motorsikalnya itu aku melihat ada beberapa buah kotak-kotak kosong yang telah dilipat dan disusun. Aku begitu ralit memerhatikan lagaknya yang bersahaja. Sehinggalah lampu bertukar menjadi hijau menandakan kenderaan boleh meneruskan perjalanan. 

Aku pun terus memulas pedal minyak motorsikal ku sebelum 'dihonkan' oleh orang belakang. Tiba-tiba aku melihat kotak terlayang diterbangkan angin dari arah motorskal si tua itu. Ketika itu aku membawa motor yang agak perlahan kerana kenderaan yang terlalu banyak menghalang aku daripada meluncur motorsikal ku dengan laju. Maka, sempatlah aku menyaksikan bagaimana Pak Cik itu memberhentikan motorsikal beroda tiganya yang agak usang di tepi jalan lalu mengutip balik kotak yang melayang dari ruang muatan motornya itu. Bayangkan dengan kenderaan yang begitu banyak dan agak laju kerana di beri lampu hijau ketika itu, Pak cik itu sanggup kembali dan mengutip balik kotak-kotak yang jatuh. Terbongkok-bongkok mengutip beberapa buah kotak itu. Ada juga kotak-kotak itu yang jatuh di tengah-tengah jalan. Satu persatu dia kutip tanpa menghiraukan pandangan orang. Demi untuk mencari rezeki yang halal walaupu hanya seringgit dua.  Nah! bertapa kotak itu bernilai bagi Pak Cik ini. Sehinggakan beliau sanggup berpatah kembali untuk mengutip balik walaupun di tengah jalan. Usai sahaja dia mengutip kotak-kotak itu, dia berlalu pergi meneruskan perjalanan. 

Tak sanggup rasanya hati melihat. Bagaimana jika itu bapa ku? Ohh... Tuhan Ya Allah.. Aku menjadi sebak! Bayangkan dengan kotak itu dia mencari nafkah untuk isteri dan anak-anaknya. Berapa sen sangatkah? Bagaimana pula keadaan anak-anaknya? Bagaimana jika anak-anaknya tidak mengerti perngorbanan seorang bapa seperti ini? Ahh... tak dapat aku berfikir panjang. Tambah-tambah lagi aku tidak mahu bersangka buruk tentang anak-anaknya. Astaghfirullahalazim. Semoga zuriatnya menjadi saham untuk pak cik di syurga biarpun di dunia tiada apa-apa yang boleh diberi dan semoga juga Pak Cik sentiasa dalam rahmat Allah. InyaAllah.

Jika ada antara yang membaca ini memiliki seorang bapa yang seperti ini usah malu dan segan. Bersyukurlah kerana anda masih mempunyai bapa yang masih mencari rezeki berbanding dengan anak-anak yatim piatu yang lain. Pekerjaan ini lebih mulia daripada mendapat duit berjuta tetapi dengan cara RASUAH, RAGUT, ROMPAK dan yang seangkatan dengannya. Di sudut kecil hati ku berasa kagum dengan cara insan-insan seperti pak cik ini yang begitu tabah dalam meneruskan kehidupan walaupun kurang bernasib baik. Lihatlah anak-anak, ini adalah perngorbanan seorang insan yang bergelar BAPA.









"Ya Allah, permudahkanlah urusan hamba-hambaMu, tabahkan hati-hati kami untuk menghadapi ujian Mu yang kadang-kadang bisa meragut kesabaran dan kuatkan iman kami agar kami sentiasa berada pada jalan Mu biarpun ada ketikanya kami tersasar. Ampunkan dosa-dosa kedua orang tua kami dan panjangkan lah umur mereka dalam keberkatan"




Wednesday, 6 June 2012

Doa hati

Ya Allah,
Tidak aku memohon untuk jatuh cinta..
Namun, cinta singgah dalam jiwa
Dalam menjaga hati, hati diuji,
Mencintainya dalam diam sangat teruji,
Ternyata sukar untuk memendam rasa

Aku takut untuk memohon dia untuk ku..
kerna bimbang aku bukan yang terbaik untuknya,
izinkan saja aku mendoakan agar dia dan aku mendapat yang terbaik..
jika dia terbaik untukku, maka permudahkanlah..
jika dia terbaik untuk insan lain, maka redhakanlah hatiku..
berikan kekuatan pada ku untuk menghadapi 1 kenyataan..
ikhlaskan hatiku dalam menerima dugaan..
tabahkan diri ku dalam menghadapi hari-hari esok..

Tuhan, 
Jika dia benar-benar bukan untukku, 
maka kuburkanlah rasa cinta dalam hati.
tamatkanlah rasa rindu yang terbeban ini
jadikan ini 1 sejarah yang tidak mungkin berulang lagi
agar tiada yang disakiti

Tuhan,
tolong jagakan dia untukku
biarpun aku bukan siapa-siapa
aku masih ingin melihat dia bahagia
walaupun bukan denganku..
berikan hidayah untuk kami
agar kami sentiasa dalam berkat Mu Ya Allah
semoga kami masih bisa bertemu di Jannah.




ku pohon pada Mu Ya Allah, jagalah hati-hati kami agar kami tidak kesesatan. Berikan rasa cinta kepada Mu Ya Allah dalam hati kami. Semoga kami dapat menempis ujian hati, ujian cinta manusia.