Wednesday, 4 June 2014

Setahun lagi?

Alhamdulillah. Sudah 2 tahun aku di sini. Penang! Belajar untuk hidup jauh dari orang tua ku. Menimba ilmu di tempat orang. 2 tahun di sini, aku masih tidak kenal tempat-tempat kat sini. Mungkin kerana kekurangan masa, jadi, aku kurang 'mengeledah' Penang.

Sesudah dua tahun, maka berbaki lagi setahun lagi pengajian ku disini. Ya, setahun lagi. Tapi aku takut untuk berkira-kira dengan pasti. Mungkin setahun atau lebih. Kita merancang tp Allah yang menentukan.

Masih segar dalam ingatan ku, semasa di peringkat diploma, pengajianku masih berbaki setahun. Suka hati, bagaikan masa cepat berlalu. Namun, tanpa ada perancanganku, aku kemalangan. Alhamdulillah umur masih panjang. Tapi terpaksa menangguh pengajian sehingga menjadi 2 tahun. Bermakna aku menghabiskan diploma dalam tempoh 4 tahun. Semuanya telah berlalu hampir 5tahun. 


Kini, jika tiada apa-apa yang berlaku, setahun lagi aku akan menamatkan pengajian untuk kali ini. Ya Allah, aku berharap kepadaMu agar permudahkan perjalanan aku dan kawan-kawan ku yang lain. 

Aku percaya dengan setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin tersembunyi di balik-balik bentakan perasaan kita. Release gelodak jiwa, dengan erti kata lain, bersabar, bersyukur & redha pasti jumpa hikmahnya! Moga Allah jauhkan segala yang buruk-buruk berlaku kepada kita semua. 


Ya Allah berkatilah usaha kami.
rahmatilah kami..
tenangkanlah hati kami
Jangan biarkan kami tersimpang dari jalanMu
Jadikan kami hambaMu yg Soleh..

Friday, 29 November 2013

Tegur tapi salah

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama rasanya jari jemari tidak menari-nari menaipkan bait-bait kata untuk dikongsikan bersama saudara saudari, sahabat-handai dan sesiapa sahaja yang menjengah blog ini. :) 
Diharapkan semua sedang dalam redha dan berkat Allah hendaknya. 

Hari ini rasa tertarik untuk kongsikan mengenai 'kesalahan'. Oh mungkin ramai diantara kita yang mampu menjadi juri tetap penilai kepada setiap apa yang berada dalam likungan atau berhampiran dengan kita atau apa sahaja yang kita rasa kita tahu. 

Ya, kita tahu.. Kita tahu yang ada mereka buat salah itu, salah ini.. salah sana dan salah sini. Tapi peliknya salah pada diri kita sendiri itu lebih banyak! itulah silapnya kita. Betul, kita boleh tegur kesalahan mereka yang lain, tapi apabila kita menegur jadikan teguran itu untuk diri kita sendiri juga. Elakkan diri kita menjadi seperti mereka. 

Tapi malangnya ramai diantara kita pejam mata dengan kesilapan diri sendiri. Tapi seluas-luasnya memandang salah orang lain. Mulalah kutuk mengutuk dari belakang. Ini bukan juga teguran tetapi lebih kepada 'mengumpat'

Lawakkan? Apabila kita mampu untuk tegur tentang warna orang berpakaian padahal orang itu sudah berpakai litup sedangkan kita masa itu sedang pakai ketat melitupi badan. Ahh... saya tak kata saya setuju tentang warna terang boleh dipakai. Tetapi disini kita boleh lihat, kita tahu tentang warna dalam berpakaian atau tentang 'tabarruj', kita pasti lebih tahu tentang kewajipan dan syarat-syarat asas tentang berpakaian. Jadi bagaimana kita masih boleh pakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan betul?

Kesimpulanya, kita tahu tentang sesuatu sebab itulah kita boleh menegur. Tetapi kita masih gagal untuk mengaplikasikan pada diri sendiri. Menegur itu bagus, tetapi biar kena dengan cara.  Sambil-sambil kita menegur, jangan lupa untuk tarbiah diri sendiri juga. :)

"amar makruf nahi mungkar"





"Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami"

Saturday, 13 July 2013

Innallaha Ma Ana

"Abah pergi berserapan dulu, kalau ada apa-apa telefon abah" Pesan abah sebelum meninggalkan aku. 

Sementara menunggu nombor giliran dipanggil, aku menongkat dagu. Keadaan di klinik othopedik agak ramai dengan orang. Kalau bukan kerana ada temujanji dengan doktor pasti aku tidak akan datang ke sini. 

Melihat keadaan aku, yang berkerusi roda, mataku mula berair. Menangis! Sampai bila harus bergini? Ulang alik dari hospital. Pakai Pampers! Ahh.. rimasnya. Kenapa tuhan menghukum aku begini? Apa salahku?

Perasaan aku sangat berkecamuk. Bercampur baur antara kecewa, sedih dan duka. Seakan-akan aku tidak mampu berjalan lagi. Aku patah semangat. SEMANGATKU PATAH. Sukar untuk aku gambarkan bagaimana perasaan aku ketika itu. Semua ini berlaku gara-gara kemalangan yang menyebabkan kaki kiriku patah remuk. Aku terpaksa memakai besi seperti aerial tv. Empat batang besi yang diskru di tulang menembusi keluar dari kaki kiri ku. Dari luar, empat batang besi itu disambung pula dengan dua batang besi lagi yang menghubungkannya. 

Dengan keadaan sebegitu, aku banyak menyusahkan orang di sekeliling aku. Aku rasa seolah-olah aku menjadi beban. Air mataku turun lagi. Seperti lagi laju dari tadi. 

Aku menggerakkan kerusi roda ku ke belakang sedikit. Takut kalau-kalau ada yang melihat aku menangis. Malu! 

Aku menundukkan kepala lalu mengesat-ngesat air mataku. Aku termenung. Fikiran aku kosong. 

Selang beberapa minit, sebuah kerusi roda melalui aku. Ada satu perasaan yang kuat dan aneh seolah-olah  menyuruh aku untuk melihat ke arah kerusi roda itu. Tiba-tiba sahaja kerusi roda itu berhenti dihadapan ku. Mata aku tidak berhenti dari melihatnya. Aku tertarik! Ada perasaan aneh menyerap ke dalam dada ku. Aku terpana! Nah ambik kau!

Seorang anak kecil, kakinya sudah tiada. Bukan satu malah dua-dua sekali! Malah dia masih kecil. Aku mengagak umurnya dalam 5 atau 6 tahun. Kanak-kanak perempuan itu masih mampu senyum di atas kerusi roda. Orangnya sangat manis bertudung.

Aku yang sudah besar panjang dan hanya patah sebelah kaki, malah masih ada harapan untuk berjalan lagi pun masih tidak bersyukur. Banyak merintih dengan ujian yang Allah bagi. Sudah berapa lama aku berjalan, baru kini Allah uji dengan tidak memberi aku berjalan dan berlari untuk sementara tapi aku sudah tidak terdaya. Jauh beza aku dan dia. Si kecil itu dari kecil lagi tidak boleh berjalan. Sedangkan aku pernah berlari, melompat dan sebagainya. Si kecil itu pasti tidak ada harapan untuk mendapat kakinya sedangkan aku masih ada harapan untuk sembuh.

Mataku masih memandang dia yang sedang ditolak oleh orang tuanya. Dia makin jauh meninggalkan aku yang masih menunggu giliran. Hanya anak mataku yang mampu menghantar dia. Dalam hati ku, aku mendoakan si kecil itu agar terus tabah dan tersenyum. Moga syurga buatnya.

Subhanallah. Tatkala aku sedang jatuh, Allah datangkan aku kekuatan. Ya Allah, dari si kecil ini kau memberi aku kekuatan. Kekuatan untuk terus hadapi hari-hari yang mendatang. Kekuatan untuk aku belajar untuk berjalan lagi. Kekuatan untuk aku menghadapi ujian dengan tabah. Dari si kecil ini, Kau ajari aku erti bersyukur. Alhamdulillah. Allah membuka mata hatiku. 

Aku mula senyum. Alhamdulillah. Allah masih sayangkan hambaNya ini. Dan aku yakin Allah tidak pernah meninggalkan kita semua. Innallaha Ma Ana. Allah yang satu, tapi selalu ada untuk setiap hambaNya yang beribu-ribu. Allahu Akbar....