Saturday 13 July 2013

Innallaha Ma Ana

"Abah pergi berserapan dulu, kalau ada apa-apa telefon abah" Pesan abah sebelum meninggalkan aku. 

Sementara menunggu nombor giliran dipanggil, aku menongkat dagu. Keadaan di klinik othopedik agak ramai dengan orang. Kalau bukan kerana ada temujanji dengan doktor pasti aku tidak akan datang ke sini. 

Melihat keadaan aku, yang berkerusi roda, mataku mula berair. Menangis! Sampai bila harus bergini? Ulang alik dari hospital. Pakai Pampers! Ahh.. rimasnya. Kenapa tuhan menghukum aku begini? Apa salahku?

Perasaan aku sangat berkecamuk. Bercampur baur antara kecewa, sedih dan duka. Seakan-akan aku tidak mampu berjalan lagi. Aku patah semangat. SEMANGATKU PATAH. Sukar untuk aku gambarkan bagaimana perasaan aku ketika itu. Semua ini berlaku gara-gara kemalangan yang menyebabkan kaki kiriku patah remuk. Aku terpaksa memakai besi seperti aerial tv. Empat batang besi yang diskru di tulang menembusi keluar dari kaki kiri ku. Dari luar, empat batang besi itu disambung pula dengan dua batang besi lagi yang menghubungkannya. 

Dengan keadaan sebegitu, aku banyak menyusahkan orang di sekeliling aku. Aku rasa seolah-olah aku menjadi beban. Air mataku turun lagi. Seperti lagi laju dari tadi. 

Aku menggerakkan kerusi roda ku ke belakang sedikit. Takut kalau-kalau ada yang melihat aku menangis. Malu! 

Aku menundukkan kepala lalu mengesat-ngesat air mataku. Aku termenung. Fikiran aku kosong. 

Selang beberapa minit, sebuah kerusi roda melalui aku. Ada satu perasaan yang kuat dan aneh seolah-olah  menyuruh aku untuk melihat ke arah kerusi roda itu. Tiba-tiba sahaja kerusi roda itu berhenti dihadapan ku. Mata aku tidak berhenti dari melihatnya. Aku tertarik! Ada perasaan aneh menyerap ke dalam dada ku. Aku terpana! Nah ambik kau!

Seorang anak kecil, kakinya sudah tiada. Bukan satu malah dua-dua sekali! Malah dia masih kecil. Aku mengagak umurnya dalam 5 atau 6 tahun. Kanak-kanak perempuan itu masih mampu senyum di atas kerusi roda. Orangnya sangat manis bertudung.

Aku yang sudah besar panjang dan hanya patah sebelah kaki, malah masih ada harapan untuk berjalan lagi pun masih tidak bersyukur. Banyak merintih dengan ujian yang Allah bagi. Sudah berapa lama aku berjalan, baru kini Allah uji dengan tidak memberi aku berjalan dan berlari untuk sementara tapi aku sudah tidak terdaya. Jauh beza aku dan dia. Si kecil itu dari kecil lagi tidak boleh berjalan. Sedangkan aku pernah berlari, melompat dan sebagainya. Si kecil itu pasti tidak ada harapan untuk mendapat kakinya sedangkan aku masih ada harapan untuk sembuh.

Mataku masih memandang dia yang sedang ditolak oleh orang tuanya. Dia makin jauh meninggalkan aku yang masih menunggu giliran. Hanya anak mataku yang mampu menghantar dia. Dalam hati ku, aku mendoakan si kecil itu agar terus tabah dan tersenyum. Moga syurga buatnya.

Subhanallah. Tatkala aku sedang jatuh, Allah datangkan aku kekuatan. Ya Allah, dari si kecil ini kau memberi aku kekuatan. Kekuatan untuk terus hadapi hari-hari yang mendatang. Kekuatan untuk aku belajar untuk berjalan lagi. Kekuatan untuk aku menghadapi ujian dengan tabah. Dari si kecil ini, Kau ajari aku erti bersyukur. Alhamdulillah. Allah membuka mata hatiku. 

Aku mula senyum. Alhamdulillah. Allah masih sayangkan hambaNya ini. Dan aku yakin Allah tidak pernah meninggalkan kita semua. Innallaha Ma Ana. Allah yang satu, tapi selalu ada untuk setiap hambaNya yang beribu-ribu. Allahu Akbar....

  

No comments:

Post a Comment

budak2 baik komen :